Pada hari ini 13.4.1876 Gabenor Negeri-negeri Selat Sir F.W. Jervois telah mengemukakan satu cadangan untuk meletakkan daerah-daerah Sri Menanti, Ulu Muar dan Jempol di bawah naungan kerajaan British. Cadangan itu juga bertujuan untuk melantik seorang Penghulu (Malay Captain) yang disenangi oleh Inggeris dan disokong oleh kebanyakan Suku. British juga melantik seorang wakil mereka bagi ketiga-tiga daerah tersebut untuk menyakinkan penduduk-penduduk di situ bahawa Kerajaan British sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka. Antara masalah tersebut ialah perebutan kuasa di antara Tuanku Ahmad Tunggal (anakanda kepada Yamtuan Imam) dan Tuanku Antah (anakanda kepada Yamtuan Radin) untuk jawatan Yamtuan Besar. Ketiga-tiga daerah itu adalah di bawah kuasa Tuanku Ahmad Tunggal yang disenangi oleh Inggeris dan mendapat sokongan 10 daripada 12 suku Tubuh di Sri Menanti dan yang juga berpengaruh di daerah Jelebu dan Jale. Bagaimanapun Tuanku Ahmad Tunggal tidaklah diangkat oleh Datuk -datuk, Penghulu Luak dan Orang Empat Istana sebagai pengganti ayahandanya (Tuanku Imam) yang baru mangkat kerana tidak suka dengan kelakuannya. Kedudukan Tuanku Ahmad Tunggal sebagai Yamtuan Sri Menanti dicabar oleh sepupunya Tuanku Antah, anakanda kepada Yamtuan Radin yang diangkat oleh Orang-orang Besar dan segolongan anak-anak Raja sebagai Yamtuan pada tahun 1872. Tuanku Antah dan pasukannya yang dikatakan telah menyebabkan kekacauan di Sungai Ujung telah melarikan diri dari British. Tuanku Antah kemudiannya meninggalkan Sri Menanti dan ke Singapura untuk bertemu dengan Gabenor Negeri-negeri Selat. Setelah perbincangan dibuat baginda kemudian telah kembali semula ke Sri Menanti dan memerintah di sana. Pada 23 November, 1876 telah diadakan perjanjian di antara Tuanku Antah dengan Penghulu-penghulu Luak dengan disaksikan oleh Gabenor British untuk mengakui dan mengesahkan perlantikan Tuanku Antah sebagai Yamtuan Sri Menanti sahaja, dan bukan Yamtuan Besar atau 'sultan' Negeri Sembilan seperti yang dihajatkannya dahulu. Bagaimanapun, perjanjian ini masih belum dapat meletakkan daerah Sri Menanti, Ulu Muar dan Jempol di bawah perlindungan British. Hanya pada tahun 1889, apabila termeterinya perjanjian penubuhan Konfiderasi Negeri Sembilan barulah kawasan-kawasan ini diletak di bawah pengaruh dan Perlindungan British.
Sumber : Arkib Negara
|
No comments:
Post a Comment